Text
Bab 3
TiNGKAP diketuk buat kesekian kalinya. Setelah hampir seminit dia mengetuk, masih tiada respons daripada pemilik kereta.
Hazril sudah berkira-kira mahu beredar dari situ. Mungkin pemilik kereta tidak mahu diganggu. Belum sempat dia melangkah, cermin kereta diturunkan sedikit.
“Awak siapa?!” jerit Mia dari dalam kereta.
“Saya Hazril... Cik okey? Kereta rosak ke?” soal Hazril prihatin.
“Kenapa ketuk tingkap kereta saya? Awak ni pembunuh bersiri ke? Nak bunuh saya ke hah?! Ke awak nak samun saya?”
Ewah, lancangnya mulut! Ingat aku ni jahat sangat ke? desis hati Hazril.
“Kenapa diam? Memang ada niat jahatlah tu!”
Cermin topi keledarnya ditolak sehingga wajahnya dapat dilihat oleh Mia.
“Eh, kalau saya nak bunuh, tak adanya saya nak ketuk pakai tangan. Saya ketuk tingkap ni guna helmet terus. Biar pecah. Lepas tu bolehlah hijack kereta awak, cekik awak sampai biru lepas tu mati. Lepas tu campak awak ke dalam semak. Sebelum tu boleh kut nak kerat-kerat dulu, nak ke?”
Ya tak ya, kan? Mia garu kepala.
“Kalau cakap bodoh, marah pula.”
Mia pantas menoleh lelaki itu semula. Sakit hati pula dia mendengar gumaman ‘bodoh’ tadi.
Tatkala memandang wajah lelaki itu betul-betul, cermin kereta diturunkan lagi. Terbeliak biji mata Mia. Rupa- rupanya pekerja warung tadi, mamat sombong tu!
Tapi entah kenapa, Mia rasa sedikit lega apabila memandang wajah lelaki itu. Kata-kata lelaki itu sebelumnya diabaikan saja.
Riak wajah Hazril serta-merta berubah apabila dia melihat dengan teliti wajah gadis di depannya. Terbit pula rasa menyesal dalam dirinya.
Kalau aku tahu ni kereta perempuan ni, tak ingin aku nak tolong!
“Tolong baiki kereta ni! Saya nak balik. Dah lewat ni!” Mia mengarah dari dalam kereta.
Hazril mendengus. Amboi, suka-suka hati nak arah aku. Ni dah lebih, melampau!
“Saya bukan mekanik. Saya ni kerja pelayan di warung, faham tak? Awak pun nampak tadi saya kerja apa, kan?” tutur Hazril spontan.
Mia mengetap bibir. “Kalau macam tu pinjam handphone boleh? Handphone saya bateri habis. Saya nak telefon kawan saya dan mekanik.” Suara Mia sudah mula kendur.
“Saya miskin, tak pakai handphone.”
Bukan dia tak ada telefon bimbit tapi dia jarang- jarang hidupkan telefon bimbitnya sejak kejadian itu. Kalau hidupkan pun sekejap saja, lepas tu dia akan matikan balik.
“What! Takkan telefon bimbit pun tak mampu nak beli?” Mia kembali menjerit. Kalau tak pandai baiki kereta, dia boleh faham tapi kalau tak ada telefon bimbit, memang mengarut.
“Tak!” Hazril menayangkan wajah selamba.
“Awak ni datang dari zaman kurun ke-17 ke apa hah? Mana ada orang zaman sekarang tak ada telefon bimbit. Budak-budak pun ada telefon bimbit, tahu tak? Ke awak ni kedekut tak nak bagi pinjam?”
“Hesy, betullah! Tak ada telefon bimbit! Tak faham bahasa ke?”
“Habis tu, macam mana?” Mia memegang kepalanya. Pening! Apa dia nak buat ni?
Kelibat gadis yang sedang memegang kepalanya direnung. Keluhan kecil dilepaskan. Mata dipejamkan rapat. Belakang kepala digaru. Hazril rasa bersalah pula kata begitu sebentar tadi. Tatkala kelopak mata dibuka, dia terfikirkan sesuatu.
“Dua pilihan.”
“Apa awak cakap?” Kata-kata lelaki itu menarik perhatian Mia.
“Saya cakap awak ada dua pilihan. Satu, stay sini sampai esok pagi. Dua, saya hantar awak balik.”
Risau juga kalau dibiarkan dia ni sendirian. Macam- macam kes sekarang ni, omel Hazril. Benda dah jadi depan mata, takkan dia nak buat tak tau aje?
“Awak hantar? Boleh percaya ke dengan awak ni?”
Saat itu, Hazril memejamkan matanya rapat. Dia ni kan, asyik nak fikir buruk-buruk aje pasal aku dah kenapa?
“Kalau saya nak buat jahat, dari tadi dah selesai saya kerjakan awak. Awak nak ikut atau tak? Itu aje pilihan yang awak ada.”
Melihatkan gadis itu yang teragak-agak, Hazril sedikit merengus.
“Ya, awak boleh percayakan sayalah. Saya ada keluarga dan ada otak juga.”
“Bukti?”
“Nak bukti macam mana lagi? Eh, menyampah pula rasa. Saya balik dululah! Orang nak tolong banyak songeh pula.” Hazril sudah mula bosan dengan perangai manusia di hadapannya ini.
“Jangannn! Okey, saya percaya tapi...” Mia memanjangkan lehernya lantas sebuah motor EX5, berkotak di belakang dipandang jelik.
“Naik tu ke? Eiii! Tak naklah! Saya lebih rela duduk dalam kereta ni sampai esok pagi dari naik besi buruk tu!” Mia memeluk tubuhnya.
“Berlagak... Tak payahlah nak sombong sangat! Kereta mahal-mahal pun bukan boleh bawa masuk kubur! Sekarang ni, besi buruk ni lagi berguna daripada kereta awak. Mahal tapi tak boleh bergerak, buat apa?” Hazril sudah mula panas hati.
Serta-merta Mia mencebik.
“Jadi, nampaknya awak dah buat keputusan, kan?
Staylah sini sampai esok pagi!” Jam di tangan dikerling.
“Dah pukul satu pagi. Saya balik dulu.” Hazril mula melangkah pergi namun dalam hatinya, dia tidak sanggup untuk meninggalkan gadis itu sendirian di kawasan seperti itu. Otaknya ligat memikirkan idea agar gadis itu mengikutnya dan... Ting! Senyuman nakal terukir di bibirnya.
Yes! Idea ni memang aku pasti akan berhasil. Terangguk-angguk Hazril dibuatnya tatkala idea itu muncul di kepala.
Hah! Dia nak tinggal aku sorang-sorang kat sini? Sungguh tidak gentleman! Tadi cakap nak tolong aku! marah Mia. Anak matanya mengekori langkah lelaki tadi. Saat lelaki itu berpaling, dia mengulum senyum.
Haaa, ingat nak tinggal aku dah tadi, desis hati Mia.
“By the way, jangan lupa kirim salam pada kawan dekat sebelah awak tu. Lupa pula saya nak say hai tadi kat dia. Asyik senyum-senyum aje dia tu. Happy betul! Rambut dia tu, awak rebondingkan boleh? Kusut sangat tu. Dahlah panjang menggerbang aje...” sambung Hazril kemudian disertai dengan tawa yang dibuat-buat. Ketawa mengilai!
“Arghhh!” Mia segera keluar dari perut kereta. Tanpa menutup pintu kereta, dia berlari menuju ke arah Hazril dan bersembunyi di belakang lelaki itu.
“Bencinya! Awak ni memang jahat betul! Kejam! Keji!” tutur Mia geram sambil menumbuk belakang badan Hazril.
“Penakut!” Sedaya upaya Hazril cuba menahan tawanya tatkala melihat reaksi Mia.
“Dah! Jangan nak pukul saya. Nah! Pakai ni,” arah Hazril sambil menghulurkan topi keledar yang hanya layak masuk ke dalam tong sampah!
“Buruknya! Tak nak... Habislah rambut saya!” Mia memegang rambutnya yang lembut.
“Masya-Allah. Astaghfirullah. Tolong jangan nak melampau sangat boleh tak? Awak perempuan yang paling mengada-ada saya pernah jumpa!” Hazril geram.
“Tapi...”
“Tak payah nak kompelin apa-apa. Nah, pakai ajelah!” Hazril segera memakaikan topi keledar untuk Mia. Selalunya Sara yang pakai topi keledar ni, dia tak pernah pula cakap begitu.
“Hesy! Stop it! Saya boleh pakai sendiri.” Mia lantas menepis tangan Hazril.
“Berlagaknya perempuan ni,” omel Hazril sendirian namun masih mampu didengari Mia.
“Huh! Whatever!”
Hazril mendengus. Belum sempat dia menyentuh motosikalnya, Mia berdeham beberapa kali sambil bermain dengan hujung rambutnya yang panjang.
Jelingan tajam dihadiahkan kepada Mia.
“Apa hal pula?” soal Hazril dingin.
“Errr... Barang-barang saya ada dalam kereta,” kata Mia perlahan.
“Jadi?”
“Ambilkanlah! Tu pun nak kena ajar ke?” Mia sudah memeluk tubuh.
Hazril jegilkan matanya. “Saya bukan kuli, hamba abdi, faham?” Hazril duduk di atas motornya lantas enjin dihidupkan.
“Eee! Cepatlah ambilkan!” jerit Mia.
“Hei, tak sakit tekak ke asyik menjerit aje? Dahlah suara macam itik! Arah orang itu ini sesuka hati. Mintak tolong dengan cara baik tak boleh ke hah?” kutuk Hazril.
Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Bertenang, Mia. Fuh... Dia berdeham beberapa kali.
“Tolong ambilkan barang saya dalam kereta, boleh? Kunci kereta dan beg tangan saya.” Mia mengukir senyuman paksa dan mengerlipkan matanya berkali-kali. Suaranya dilembutkan selembut mungkin.
“Tak boleh. Ambil sendiri.” Senyuman sinis menghiasi wajah Hazril.
Padan muka. Nak berlagak sangat dengan aku kan. Rasakan!
“Argh!” Kaki dihentak berkali-kali sebelum Mia menapak geram menghampiri keretanya. Beg tangan diambil. Belum sempat dia mengambil kunci keretanya, Hazril sudah menjerit.
“Cepatlah! Nak suruh kawan awak tu ikut sekali ke hah? Tak muat ni. Motor boleh naik dua orang aje.” Sengaja Hazril mahu menakutkan Mia.
Wajah Mia serta-merta bertukar pucat. Dia mengunci keretanya dan terus berlari ke arah Hazril lantas segera duduk di belakang lelaki itu.
“Kalau tak takutkan saya, tak boleh ke hah?”
“Tak.”
Motosikal ditunggang perlahan. Pipi Mia terasa kebas saat ditampar angin malam yang sangat sejuk!
Mujur motosikal ni ada box, bolehlah aku bersandar dan duduk jauh sikit dari mamat ni! Bau hangit, kutuk Mia walaupun pada hakikatnya, bau lelaki di hadapannya tidak seperti yang dibisikkan di dalam hatinya.
“Rumah awak kat mana?” soal Hazril tiba-tiba dengan nada yang agak kuat.
“Hah?” Mia mendekatkan kepalanya ke bahu Hazril. Dia cakap apa?
“Pekak!”
“Hesy! Mana ada pekak! Saya tak dengarlah! Dahlah bunyi angin ni kuat!” laung Mia seraya menampar bahu Hazril.
Sesuka hati mak nenek dia aje nak cakap aku pekak! marah Mia dalam hati.
“Eh, dengar pula? Saya kutuk awak terus dengar...” Hazril tertawa halus.
Bibir diketap. Geramnya dengan sengkuang sorang ni! Huh... Tapi sekurang-kurangnya dia baik juga mahu tolong aku. Baik ke? Argh! Mia jangan fikir bukan-bukan. Insya-Allah dia baik dan tak buat jahat pada kau. Mia cuba berfikir positif.
“Hei, cepatlah jawab! Rumah awak dekat mana?”
Tersentak Mia dibuatnya. Selepas memberitahu lokasi rumah sewa Keysha, dia mengambil keputusan untuk mendiamkan diri sahaja.
Setelah 20 minit berlalu, akhirnya mereka berdua berada di hadapan rumah teres dua tingkat. Tanpa mengucapkan terima kasih, Mia turun dari motosikal dan terus membuka pintu pagar seraya menghampiri pintu rumah.
Nasiblah lampu depan ni tak tutup. Kalau tak, mesti gelap! Kereta Keysha yang tersadai di depan rumah dipandang sekilas sebelum mencari kunci rumah di dalam beg tangannya.
Eh? Kenapa tak ada? Beberapa saat kemudian, mata Mia membulat sebelum dia menghentak kakinya berkali-kali.
Kunci rumah ada dalam dashboard kereta! Arghhh! “Dahlah tak reti nak berterima kasih, lepas tu helmet saya pun nak curi! Bak balik!”
Mia segera memusingkan badannya ke belakang. Kelihatan Hazril sudah bercekak pinggang sambil merenungnya tajam.
“Nah, ambil! Tak ingin nak curi topi buruk busuk ni!” ujar Mia sambil membuka topi keledarnya lantas dibaling kasar ke arah Hazril.
“Isy, perempuan ni...” Hazril mengetap bibir. Tanpa membuang masa, dia segera beredar dari situ. Geram.
Menyesal aku tolong! Memang tak ada adab! Buang masa dia saja.
Topi keledar diletakkan di dalam box. Belum sempat dia menghidupkan enjin motosikalnya, Mia sudah terpacak di hadapannya.
“Ha, nak apa lagi?” soal Hazril dingin sambil menjulingkan matanya ke atas sebelum pandangan dihalakan ke kanan. Malas nak menatap wajah gadis di hadapannya.
“Maaf...”
Terkejut. Serta-merta pandangannya melekat pada wajah Mia. Dia sebut... Maaf? Dia mintak maaf dengan aku ke?
“Tak apa... Tepilah. Saya nak balik. Awak menghalang laluan saya...” tutur Hazril senada.
“Nanti. Emmm, sebenarnya...” Mia kematian kata-kata. Keluhan berat dilepaskan.
Stres aku macam ni. Tadi aku kurang ajar dengan dia, sekarang nak mintak tolong pula. Argh! Malunya... Memang jatuhlah saham aku!
“Sebenarnya apa?”
“Kunci... Rumah... Tertinggal dalam kereta... Dalam dashboard,” tutur Mia perlahan sambil melagakan kedua-dua hujung jari telunjuknya.
“Dah tu? Tunggulah depan pintu rumah sampai esok pagi. Apa susah...” balas Hazril spontan.
“Tapi...” Suara Mia sudah bertukar sebak. Tunggu sini? Dia takut!
“Apa?” soal Hazril perlahan. Hatinya mula disapa rasa kasihan. Alahai, kenapa sekarang ni cepat sangat aku kasihan pada orang?
“Saya... Emmm... Saya takut...” Mia memeluk tubuhnya. Pandangannya dihalakan ke arah kanan. Tak mampu nak menatap wajah lelaki di hadapannya. Malu!
“Takut? La, dengan kawan-kawan awak sendiri pun takut ke?” Hazril ketawa.
“Hesy! Bukan kawan sayalah! Kawan awak! Tak payahlah nak buat perangai keji sangat! Nak takutkan saya tak habis-habis!” Lancar saja Mia menghamburkan kata.
“Haaa, jerit kuat lagi. Kawan-kawan awak memang suka dengan orang menjerit kuat ni!” Hazril mengukir senyuman mengusik.
“Bencilah...” Mia muncungkan mulutnya.
“Dah tak ada kunci rumah, sekarang awak nak buat apa?” soal Hazril mula berlembut. Matanya redup memandang Mia.
Anak mata Mia memandang Hazril tatkala lelaki itu bersuara. Wah! Boleh pula dia cakap macam ni. Terus rasa terpikat dan matanya...
Eh? No! No! Buah hati aku, Aqil Thaqif nak letak mana? Mia menggeleng beberapa kali.
“Berangan tak habis-habis...”
Bebelan Hazril menerbangkan lamunan Mia.
“Saya tak tahu. Kalau nak ke kereta balik, macam jauh. Kesian pula dekat awak. Duit saya tinggal sikit aje ni. Nak call kawan, bateri handphone habis. Tadi masa dalam perjalanan ke sini, saya ada nampak telefon awam tapi semuanya rosak...” tutur Mia perlahan.
Saat itu, dia mula menyumpah orang-orang yang menyebabkan telefon awan menjadi begitu. Sudahlah sekarang zaman teknologi moden, telefon awam makin pupus, boleh pula mereka rosakkan. Dasar vandalisme tak guna.
Hazril mengeluh kecil. Apa aku nak buat ni? Nak tinggalkan dia sorang-sorang di sini, macam tak patut pula.
“Apa kata awak ikut saya balik, nak?” Akhirnya Hazril memberi kata putus.
“Sebab kalau nak dibandingkan dengan lokasi kereta awak, rumah saya lagi dekat...” sambungnya lagi.
“Hah!” Aku? Ikut dia balik? Gulp! Air liur ditelan berat.
“Awak jangan risaulah. Saya ada ibu, ada adik. Saya takkan apa-apakan awak.” Hazril turun dari motosikal. Topi keledar yang berada dalam kotak di belakang diambil lalu dihulurkan kepada Mia.
“Nah, pakai topi ni...”
“Errr... Kena pakai juga ke? Habislah rambut saya. Ni pun dah berbau dah,” kata Mia sambil mencium rambutnya.
Eh, wangi aje. Pandai-pandai aje aku cakap busuk.
“Jangan banyak songeh sangat boleh tak? Cepat pakai dan naik motor ni! Kalau lambat saya tinggal,” tegas Hazril. Dah lewat sangat dah ni!
Argh... Time aku tidur pun dah terlepas ni. Mengantuknya!
Mia turutkan saja. Dalam hati dia berdoa, berharap agak lelaki di hadapannya ini tidak mengambil kesempatan dan benar-benar manusia baik.
Kalau daddy aku tahu aku ikut lelaki lain balik rumah, memang kena pancunglah aku!
0 notes
Text
Bab 2
“ABANG HAzRil...” panggil Sara lembut. Wajah Hazril yang sedang khusyuk
membasuh pinggan direnung.
“Hmmm?” Hazril Mifzal memandang wajah comel Sara yang sedang berdiri di sebelahnya. Tangannya yang basah dilap menggunakan tuala yang sedia diselitkan di poket kiri.
“Errr...”
“Kenapa ni, Sara? Ada masalah ke?” sambung Hazril lagi apabila Sara hanya mendiamkan diri. Topi di atas kepalanya yang sedikit senget, dibetulkan.
“Kenapa abang tak nak hantar makanan dekat meja gadis-gadis jelita tu? Dia orang kacau abang eh?” soal Sara sambil tersengih kemudian dia muncungkan mulutnya ke arah tiga gadis yang berada di meja hujung dalam warung itu.
Hazril mengangkat keningnya. Mereka yang dimaksudkan Sara, dijeling sekilas lantas dia menjuihkan bibirnya.
“Jelita ke? Tak pun... Biasa aje dia orang tu. Not my
tastelah, Sara. Sara lagi cantik.”
“Hesy, abang ni... Macam tu tak cun ke? Abang tengok... Tu...” Sara menunjukkan beberapa orang lelaki yang sedang mencuri memandang gadis-gadis jelita itu dengan menggunakan jari telunjuknya.
“Tak berkelip mata dia orang, bang, pandang akak- akak tu. Tambah-tambah akak yang rambut beralun tu. Cantik betul!” tutur Sara bersungguh-sungguh.
Benar. Memang gadis itu turut menarik perhatian dia juga pada awalnya tapi lepas apa yang jadi, terus perasaan tu hilang.
Ingat aku tak tahu ke dia nak kenakan aku? Masa tengok kawan-kawan dia senyum pun aku dah boleh agak dah. Hazril mencebik.
“Abang...”
Panggilan Sara mengembalikan Hazril daripada lamunan.
“Kalau Sara nak tahu, yang itulah paling kurang cerdik! Baca menu pun tak reti...”
“Hah? Cantik macam tu takkan la tak cerdik pula?” omelnya sendiri.
“Tak ada apalah, dik...” Hazril menamatkan topik tentang gadis itu. Malas nak panjangkan lagi benda yang tak penting. Sempat lagi Hazril menghadiahkan senyuman nipis sebelum kembali membasuh pinggan.
“Abang nak basuh pinggan ni. Sara ganti tempat abang ya malam ni? Abang rasa, Mak Cik Wati tak marah kut. Abang dah malaslah nak ambil oder. Esok-esok abang bawa Sara jalan-jalan. Belanja Sara makan ke, okey?” ujarnya sambil mencuri pandang wajah Sara.
“Okey!” Sara tersenyum riang.
“Haaa lagi satu, Sara balik dengan Mak Cik Wati ya nanti. Abang nak beli barang kejap. Mungkin abang balik lambat sikit. Jangan lupa bagi tahu ibu, nanti dia risau pula.”
Sara angguk berkali-kali. Bibirnya tak lekang dek senyuman. Syukurlah ada Abang Hazril yang sudah dianggap seperti abang kandung sendiri. Walaupun Hazril agak misteri, namun dialah yang banyak membantu Sara dan ibunya yang sedang sakit.
Sepanjang tempoh enam bulan tinggal bersama, dia sanggup kerja sebagai pelayan di warung Mak Cik Wati demi mencari duit untuk menyara keluarga itu. Katanya, dia ingin membalas jasa.
Jasa apa? Dia pun tak tahu. Itu rahsia ibu dan Abang Hazril.
•••
“KAU cari siapa, Mia? Dari tadi asyik terjenguk-jenguk aje. Dahlah, jom balik.” Keysha hairan apabila Mia seperti sedang mencari sesuatu.
“Aku nak cari mamat sombong tu tapi tak ada pula. Isy, geramnya!” jawab Mia kuat sambil menghidupkan enjin kereta.
“Kau nak buat apa cari dia?” Afina mencuit bahu Mia.
“Adalah! Tak apa, esok aku nak datang lagi kat sini.” Kereta mula dipandu perlahan dan semakin lama semakin laju membelah jalan raya yang sudah lengang. Maklumlah, sudah pukul 12.30 pagi.
“Errr... Mia...” Keysha bersuara setelah lama mendiamkan diri.
“Ya, kenapa?” Mia mencuri pandang Keysha yang tergaru-garu kepala di sebelahnya.
Keysha berdeham berkali-kali kemudian dia tersengih.
“Aku rasa aku nak jumpa kekasih akulah.”
“Haaa, aku pun!” celah Afina.
“Hesy, tak habis-habis nak jumpa. Dah lewat ni, takkan nak jumpa lagi? Kau orang tak takut ke, lelaki bukan semua boleh percaya tau! Kalau dia buat apa-apa kat kau orang macam mana?”
“Ala Mia, kau pun kenal kan dia orang tu. Positiflah sikit.”
“Zaman sekarang nak positif pun kena tengok keadaan juga. Memanglah aku dah kenal. Aku ni dari jauh tau drive, nak jumpa kau orang. Boleh pula kau orang nak tinggalkan aku sorang-sorang...” sambung Mia dengan nada rajuk.
“Ala Mia, sorry la... Kami jumpa kejap aje. Kita orang nak ajak kau la ni, bukan nak tinggalkan kau sorang- sorang.”
“Tak kuasa aku nak ikut kau orang.” Mia mencebik. Geram betul dengan kawan-kawannya ini.
“Fina, nanti kalau parents kau tau, entah-entah lepas ni dia orang dah tak kasi kau tidur kat rumah Keysha lagi. Kau tak takut ke?” gertak Mia, cuba menakutkan.
“La, jangan risaulah. Mama dan papa aku sporting. Lagipun aku dan Keysha keluar sama-sama sebab boyfriend kita orang kan kawan baik. Please... Kejap aje. Kalau kau tak nak ikut tak apa. Esok kami janji, kami berkepitlah dengan kau. Kau berhenti dekat perhentian bas depan tu. Dia orang dah tunggu kat situ,” ujar Afina bersungguh-sungguh.
Keluhan kecil dilepaskan. “Okey...” balas Mia sepatah. Tak guna nak pujuk. Kalau dah nekad, memang tak boleh buat apa dah.
Lampu isyarat sebelah kiri dinyalakan lalu diberhentikan keretanya di bahu jalan.
“Ni, kunci rumah aku letak dekat sini. Bye. Nanti kita orang balik, ya?” hulur Keysha sebelum dia dan Afina terkocoh-kocoh keluar dari perut kereta seraya menuju ke kereta Mitsubishi yang berada di hadapan kereta Mia.
“Kalau nak jumpa boyfriend, pagi-pagi buta pun kau orang sanggup. Ah, ni mesti pukul tiga ke empat pagi baru balik...” omel Mia seorang diri di dalam kereta sambil memandang kereta Mitsubishi yang sudah jauh di hadapan.
Aku datang dari jauh, dengan memandu lagi yang bukan sejam dua, boleh dia orang ni pergi dating. Kawan apa ni? Bukan nak lepak dengan aku. Isy! Benci la macam ni.
Tujuan dia datang ke Kuala Lumpur ini adalah untuk menghadiri majlis hari jadi Afina yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Sengaja dia datang awal. Lagipun, mereka sudah lama tidak bertemu sejak tamat pengajian di Universiti Putra Malaysia tiga bulan lepas.
Keysha berasal dari Ipoh dan bekerja di Kuala Lumpur. Jadi dia menyewa rumah di sini dan dapatlah Mia menumpang di rumah Keysha sepanjang keberadaannya di Kuala Lumpur. Afina pula memang asal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak kepada seorang usahawan yang berjaya di Malaysia.
Tatkala Mia ingin menekan pedal minyak, tiba-tiba enjin keretanya mati. Matanya membulat!
“Oh, no no no! Please, not now!” Mia panik.
Enjin cuba dihidupkan namun masih tidak berjaya. Jantung Mia sudah berdegup kencang. Matanya liar memandang sekeliling. Air liur ditelan berat. Sunyi dan sepi! Gelap pula tu.
Telefon bimbit di dalam beg tangan diambil. Punat Home ditekan berkali-kali.
What! jerit Mia dalam hati. Sudah jatuh ditimpa tangga. Bateri telefon bimbitnya habis pula! Sudahlah power bank tertinggal di rumah Keysha. Aduh, macam mana ni?
“Argh!” Mia menghentak stereng kereta dengan tangan kanannya manakala tangan kirinya masih menggenggam erat telefon bimbitnya. Kelopak matanya sudah mula bertakung. Dadanya mula terasa berat. Sungguh, dia rasa takut. Macam-macam kes jenayah sekarang ni. Bunuh campak, bunuh kerat, bunuh bakar, rogol bunuh. Seramnya!
Mia memejamkan matanya. cuba untuk menenangkan diri. Segala bayangan yang tidak elok cuba dibuang jauh-jauh.
Ya Allah... Selamatkanlah aku.
Tok-tok!
Matanya membulat. Pandangannya dihalakan ke kanan dan...
“Argh!” jerit Mia sambil menutup kedua-dua belah telinganya. Tak cukup dengan itu, dia siap melompat ke tempat duduk penumpang.
3 notes
·
View notes
Text
Watak utama CTPS
0 notes
Text
BAB 1
MEREKA bertiga melangkah masuk ke dalam warung itu seperti orang lain. Jam sudah
menganjak ke angka sebelas malam, namun masih ramai pengunjung di warung yang dikatakan menyediakan makanan yang sangat lazat sehingga tular di media sosial.
Melilau tiga pasang mata mencari tempat kosong. Mereka terus ke arah tempat duduk yang agak jauh dari pelanggan lain. Beberapa pasang mata liar kini memandang mereka tanpa berkelip.
“Aku rasa macam tak selesalah apabila semua orang tengok kita. Apa pelik sangat ke kita ni? Aku rasa aku tak adalah pakai crown, baju labuci, baju pengantin bagai. Tambah-tambah kau, Mia. Sakan dia orang perhatikan kau.” Keysha membuka bicara tatkala melihat lelaki-lelaki muda memandang sahabatnya, Mia Adlina.
“Haah, betullah. Tengok tu, mata masing-masing tak berkerlip.” Afina mengeyakan juga dengan nada yang kurang selesa. Matanya turut meliar memandang sekeliling.
“Biarlah... Dasar gatal. Tak pernah tengok orang ke apa? Handsome tak apa juga. Sedaplah sikit mata nak balas pandangan dia orang tu,” balas Mia dengan gaya flip hair.
Tawa mereka bertiga bersatu.
“So, who’s the naughty one now?” soal Afina dengan tawa yang masih bersisa.
“Entah. Not me okay!” jawab Mia dan Keysha serentak.
“Kau orang ni, aku main-main ajelah. Tapi apa-apa pun, setakat nak tengok tu tak apa. Kalau lebih-lebih memang mampus la dengan aku. Takkanlah aku nak menduakan orang yang bertakhta dalam hati aku ni.” Mia mencari telefon bimbit di dalam beg tangannya.
“Hati aku, only for this charming guy...” sambung Mia sambil menayangkan wajah jejaka kacak yang terpapar sebagai wallpaper di skrin telefon bimbitnya.
“Aqil Thaqif! Aku suka tengok dia. Dahlah senyum manis, handsome, pandai ambil hati, caring, untung kau dapat dia,” puji Keysha melambung.
“Romantik pula tu,” celah Afina.
“Betul! Sebab tu aku terpikat dengan dia. Bukan sebab dia handsome, tapi dia pandai ambil hati aku. Yang lain tu bonus. Cumanya, kalau jumpa lelaki yang lain, yang sedap mata memandang, yang indah-indah, boleh lagi nak cuci mata. Aku kan suka tengok benda-benda yang indah.” Mia tertawa halus.
“Amboi, ada hati nak skodeng mamat lain. Si Aqil tahu, mengamuk lepas tu merajuk, padan muka kau! Lelaki kalau merajuk ni memang tak boleh bawa bincang weh. Pening kepala nanti.” Kata-kata Afina mendapat anggukan daripada Keysha.
Perangai Mia dari dulu tak berubah. Cuci mata memang menjadi hobi utama. Bukan setakat cuci mata tapi menganalisis watak-watak lelaki juga. Lepas menganalisis, masing-masing bergosip. Perangai kebanyakan wanitalah katakan tapi perangai seperti ini hanya sah dalam kalangan sahabat sahaja. Sahabat, bukan kenalan. Kalau bergosip dengan kenalan, silap hari bulan boleh kena ceramah. Kenapa hendak serius sangat pun tak tahulah. Chill sudahlah.
“Aqil dah tahulah hati aku ni untuk dia aje. Dia percayakan aku, aku pun percayakan dia.” Mia tersengih.
“Eh, kau orang tak kesah kan makan kat sini?” sambungnya lagi sekadar mahu tukar topik. Kalau nak bercerita pasal Aqil ni, sampai esok pun dia tak kesah. Tapi tak naklah asyik bercerita pasal lelaki aje.
“Kau ingat kami memilih sangat ke? Janji kenyang dan murah. Itu aje yang penting sekarang. Tambah-tambah aku ni yang duduk merantau jauh, kenalah berjimat sikit. Sebulan sekali aje boleh makan mahal-mahal...” tutur Keysha bersemangat.
“Betul... Sekali-sekala naklah juga tukar selera. Dahlah sekarang ni semuanya harga tinggi, gayat!” Mia menambah.
Walaupun dia anak orang berada namun dia tidak cerewet tentang makanan. Yang mana nampak sedap, semua dia bedal. Janji halal. Kadang-kadang ada juga rakan-rakan lain yang datang dari keluarga berada tak suka dengan perangainya yang satu itu. Mereka fikir tempat macam ni makanan kotor agaknya.
Heh, kalau kotor, mesti dah bercambah-cambah orang sakit perut, lepas tu masuk hospital. Mengada-ada aje lebih. Berlagak cakap ajelah berlagak, desis hati Mia sendiri.
“Weh, mana pelayan ni? Lambatnya! Aku dahlah lapar gila ni. Dari petang tadi tak makan benda berat, makan benda merapu banyaklah...” rungut Keysha sambil memegang perutnya.
“Sabarlah, kan ramai orang tu. Aku pun lapar juga,” celah Afina.
Mia menggeleng melihat sahabatnya yang sudah menunjukkan riak muka orang yang kebuluran. Telefon bimbit dimasukkan kembali ke dalam beg tangan. Rambut yang menutupi dahinya dikuis sedikit. Tatkala memandang wajah Afina dan Keysha yang duduk bertentangan dengannya, dahinya berkerut seribu.
“Eh, kenapa dengan kau orang ni?” soal Mia hairan. Diam. “Diam pula, kenapa ni weh?”
“Kau tengok la tu, beb. Tiba-tiba selera aku dah hilang. Pandang dia pun dah buat muka aku jadi kenyang.” Mata Afina bersinar-sinar.
“He’s more delicious than a cheese cake!” ujar Keysha pula.
“Apa benda yang kau orang merepek ni?” Mia berpaling ke belakang.
Dia terpempan! Tiba-tiba seperti ada kejutan elektrik mengalir di badannya tatkala memandang seorang lelaki sedang menapak menghampiri mereka. Setiap langkah seakan-akan model di atas pentas peragaan.
Pakaian lelaki itu sederhana, jean dan baju T biasa berwarna hitam. Sehelai tuala ‘good morning’ terselit di sebelah poket kirinya. Tangan kanannya juga ada tuala yang sama, yang dililit cantik di pergelangan tangan dan rambutnya, tak dapat diteliti kerana dia memakai topi. Setiap langkah lelaki itu dipandang dengan mata yang langsung tidak berkerlip sehinggalah lelaki itu berhenti di sisi meja mereka seraya menghulurkan buku menu.
Oh My God! Takkanlah lelaki ni... Pelayan?
“Oder, miss...” ujar lelaki itu bersama senyuman manis. Wajah tiga gadis di hadapannya dipandang silih berganti.
Mia sudah seperti mahu pengsan. Sedapnya suara dia! Maco! Lagi maco daripada suara Aqil dan senyumannya, walaupun senyuman itu hanya senyuman nipis. Wah! Tak mampu dia nak gambarkan dengan kata-kata tapi yang pasti... Senyuman itu indah.
Eh? Apa dia merepek ni? Kenapa dia bandingkan lelaki yang dia tak kenal dengan buah hati sendiri? Mia menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Mata Keysha dan Afina juga masing-masing diam. Terpegun. Menu pula tidak dipandang walaupun sekilas. Mata masing-masing masih melekat pada pelayan yang entah siapa namanya itu.
“Ehem... Oder apa, miss?” Lelaki itu berdeham beberapa kali sebelum menyoal sekali lagi.
Mia, Afina dan Keysha kembali ke alam nyata. Mereka turut berdeham sambil menyambar menu yang berada di atas meja. Kontrol malu.
“Saya nak... Nasi Goreng Udang... Dan... Emmm... Air Sirap Laici...” tutur Keysha perlahan bersama senyuman manis di bibir.
“Saya nak Nasi Goreng Sotong... Same drink,” pesan Afina pula lantas mata dikerlipkan berkali-kali kepada pelayan itu.
Lelaki itu tersenyum nipis lantas menulis menu yang dipesan.
Mia sekali lagi terpanar. Dia kidal! Oh, aku memang suka dengan lelaki kidal ni, spesial! puji Mia dalam hatinya.
Lelaki itu kemudian mengalihkan pandangannya kepada Mia yang belum memesan makanan. Gadis yang paling menarik perhatian pengunjung di restoran itu.
Menu yang berada di tangannya pantas diteliti, tapi entah kenapa hatinya membuak-buak untuk berborak panjang dengan pelayan itu. Okey! Menu diletakkan di atas meja dan matanya mula memandang anak mata lelaki itu. Mia tersenyum senget apabila otaknya mula terfikir idea nakal.
Berkerut dahi lelaki itu apabila terpandang senyuman nakal yang menghiasi wajah Mia.
“Makanan apa yang spesial di sini?” soal Mia berpura-pura serius.
Terkebil-kebil lelaki itu. Wajahnya kelihatan sedikit terkejut dengan pertanyaan Mia. Kemudian dia tersenyum.
“Semua makanan yang dihidangkan di sini semuanya spesial. Insya-Allah, menepati cita rasa orang Malaysia dan sudah semestinya sedap.”
Mia mengecilkan matanya. Itu jawapan standard!
“Spesifiklah... Apa menu yang paling sedap?” soal Mia lagi dengan nada tidak puas hati. Perkataan ‘paling’ ditekankan.
Riak wajah lelaki itu bertukar. Dia memandang wajah mereka bertiga silih berganti. Afina dan Keysha masing-masing cuba menyembunyikan senyuman.
Lelaki itu mendekatkan kertas menu kepadanya. Jari telunjuk mula memainkan peranan. “Selalunya, pelanggan pesan makanan-makanan ni.” Beberapa menu yang sering dipesan pelanggan ditunjukkan kepada gadis di hadapannya satu per satu.
“Ini banyak. Saya nak satu saja. Satu. Jadi bagi saya satu menu yang paling sedap. Susah sangat ke?”
Terdengar keluhan lelaki itu apabila Mia selesai berbicara.
“Cik boleh pilih aje yang mana saya bagi tahu tadi...”
“Awaklah syorkan satu menu yang saya wajib makan. Kalau tak makan, memang rugi. Haaa, saya nak yang macam tu.”
Terlepas dengusan kecil di bibir lelaki itu.
“Cik, kalau lapar semua sedap. Mungkin salah satu menu yang saya tunjuk ni tak kena dengan selera cik, tapi apa pun cik, makan nasi dengan air garam pun dah sedap kalau cik betul-betul menghargai makanan. Cik nak cuba ke? Saya boleh tolong pesankan. Saya nak tolong siapkan nasi tabur garam pun boleh.” Bibir lelaki itu mengukir senyuman. Kali ini dengan sinis sekali!
Hati Mia mula panas dengan jawapan itu. “Eh, awak pelayan, sepatutnya apa yang saya tanya awak kena jawab betul-betul. Bukan nak sinis-sinis dengan saya.”
“Saya rasa saya dah jawab, jadi...”
“Tak, awak tidak menjawab soalan langsung!” Mia mencantas.
“Sebenarnya, cik ni nak makan ke tidak?” Jelas kelihatan yang lelaki itu sudah mula rasa tidak puas hati.
“Saya nak tau menu apa yang paling sedap!”
“Jangan banyak songehlah, cik. Ambil aje nasi goreng biasa kalau dah tak tahu sangat nak makan apa. Jangan nak buang masa saya, banyak lagi kerja yang saya kena buat,” tutur lelaki itu sambil ligat menulis sesuatu di atas kertas kecil yang berada di tangannya.
“What!” Mia mengetap bibir. Kurang ajarnya jawapan dia.
Keysha dan Afina hanya mampu memandang mereka berdua silih berganti dengan mulut ternganga. Mulanya mereka menyangka semua ini hanya usikan semata- mata, tapi tak tahu pula usikan akan bertukar pergaduhan seperti ini.
“Air?”
Belum sempat Mia menjawab, lelaki itu terlebih dulu menjawab soalannya sendiri.
“Okey, teh O ais aje. Lupa yang cik tak reti baca menu...” tuturnya spontan dan mengambil buku menu di atas meja dan berkira-kira untuk melangkah pergi.
Bibir diketap. Sombongnya!
“Hei! Siapa nama awak hah? Apa hal biadab sangat?”
Soalan Mia menyebabkan langkah lelaki itu terkunci. Orang yang duduk berdekatan meja mereka mula berpandangan sesama sendiri sambil mengomel.
Lelaki itu berpaling memandang Mia yang sedang menayangkan wajah tidak puas hati. Senyuman sinis terukir di bibirnya.
“Siapa yang biadab sebenarnya?”
Mia hanya menjeling.
“Ingat saya tak tahu ke yang cik sengaja nak kenakan saya?”
Makin menggelegak darah Mia. “Siapa nama awak?”
“Penting ke?” soal lelaki itu dingin.
“Penting!”
“Nak buat apa? Aduan?”
“Yep!”
“Bodohlah saya kalau saya bagi tahu nama saya. Tak sangka, muka dah cun tapi kurang bijak.” Lelaki itu melangkah pergi setelah menghadiahkan jelingan tajam kepada Mia.
“Eiii! Harap muka aje handsome, perangai... Teruk!” Mia mengetuk meja kuat! Nafasnya sudah naik turun. Wajahnya yang putih bersih itu sudah bertukar merah. Marah!
“Wow! First time la lelaki layan kau macam tu...” tutur Keysha setelah lama mendiamkan diri.
“Sebab itulah aku geram sangat ni! Hesy! Kalau ikutkan hati aku ni, nak aje aku lempang muka dia tu.”
“Tapi salah kau juga. Yang kau nak test dia tu dah kenapa? Siap tanya bukan-bukan lagi. Aku rasa dia tu dah penuh sabar jawab soalan kau. Kau cari pasal lagi, dia benganglah tu...” Afina menggeleng berkali-kali.
“Aku saja aje. Aku cuma nak cari topik untuk borak dengan dia. Tanya menu tu mukadimah aje. Tunggulah! Nanti dia hantarkan makanan untuk kita nanti... Memang siap dia!” Mia geram.
Malangnya, setelah 15 minit menunggu, seorang gadis kecil molek yang menghantar makanan di meja mereka, bukan lelaki itu.
Mia mendengus. Tak apa, hari ni hari kau. Esok, aku datang lagi di sini dan aku kerjakan kau cukup-cukup. Huh!
2 notes
·
View notes
Text
“Saat kau ikhlas menerima, akulah manusia paling bahagia.”
Cinta Tak Pernah Salah
0 notes